Wednesday, 20 August 2014

Kemanyang termasuk tumbuhan Zingiberaceae yang bersaiz besar dan pokoknya tumbuh secara berumpun. Tandan buahnya muncul di bahagian tengah batang. Dalam taksonomi saintifik kemanyang termasuk dalam genus Plagiostachys, Ridl., genus ini merupakan genus yang bilangannya sangat sedikit antara tumbuhan herba dalam famili Zingiberaceae yang ada di Semenanjung Malaysia dan Borneo (Burkill 1966). Di kawasan kampung Emparu dan Ransi Pendek, kemanyang amnya dapat dijumpai di pinggir hutan primer atau di hutan sekunder tua, namun kewujudannya termasuk jarang. Hal tersebut boleh disebabkan rosaknya habitat tumbuh kerana penebangan dan kebakaran hutan untuk kegiatan pertanian.
Tumbuhan kemanyang digunakan oleh dukun (semanang) dalam upacara ritual (belian) pengubatan orang yang dianggap memiliki (dihinggapi) roh tidak baik (semengat jai'). Orang yang sering sakit dianggap memiliki roh  yang tidak baik dan rohnya tersesat di dunia orang mati atau dunia roh (sebayan). Begitu juga dengan kepercayaan orang Iban bahawa orang yang memiliki semengat jai' akan mengalami keadaan yang tidak sihat seperti menderita, penyakitnya sering kambuh, hilang selera makan, gangguan mental, kelemahan otot dan lesu. Penyembuhan atau penangkapan kembali roh (semengat) pesakit yang tersesat juga menggunakan jasa semanang (Sather 2001) .
Penggunaan kemanyang dalam ritual tersebut, iaitu sebagai bahan dalam pembuatan pondok kecil (langkau) yang dijadikan simbolik rumah roh yang tersesat. Batang kemanyang digunakan sebagai lantai, manakala daunnya digunakan sebagai atap. Selain tumbuhan kemanyang, batang tumbuhan timau padi juga digunakan sebagai tiang. Penyatuan bahagian-bahagian itu menggunakan tali rotan yang sudah dibelah dan dihaluskan. Pondok yang dibina lebih kurang berukuran 35 x 20 x 35 cm, namun tidak ada ketetapan khusus mengenai saiz ini. Orang yang membuat pondok bukanlah pesakit ataupun dukun yang memimpin upacara ritual tersebut, tetapi orang lain yang dianggap mengetahui cara-cara pembuatannya.
Upacara ritual ini dimulakan ketika malam hari dan berlangsung hingga subuh. Pada masa upacara ritual berlangsung, seekor anak ayam yang masih hidup dimasukkan ke dalam pondok yang telah dibina. Sebelum upacara ritual berakhir, pondok yang terbuat daripada kemanyang tersebut dicencang-cencang dengan parang. Orang yang melakukan pencencangan pondok mestilah orang yang telah membina pondok tersebut. Sebagai upahnya, parang yang digunakan untuk mencencang menjadi milik pembuat pondok dan ia juga diupah dengan beras dua gantang (gatang ) atau wang seadanya yang diberikan oleh keluarga pesakit.
Dalam kepercayaan masyarakat Dayak Desa, pondok yang digunakan dalam ritual ini merupakan simbol yang melambangkan rumah roh pesakit yang ada di sebayan. Pencencangan pondok tersebut juga sebagai simbol penghancuran rumah roh pesakit yang tersesat. Dianggap bahawa roh yang ada di dunia orang mati tersebut tidak mempunyai rumah lagi dan akhirnya kembali ke alam nyata. Pengambilan roh pesakit dari sebayan juga dilakukan oleh semanang secara simbolik dengan menggunakan gatang. Berhubung dengan penggunaan tumbuhan kemanyang dalam proses penyembuhan orang sakit ini, menyebabkan adanya sebahagian masyarakat Dayak Desa yang berpantang untuk tidak memakan buah kemanyang dan tidak menggunakan batang dan daun tumbuhan ini dalam pembuatan pondok di huma.

Pada masa sekarang, pelaksanaan upacara ritual penyembuhan orang sakit yang dianggap memiliki semengat jai' sangat jarang dilakukan. Pengubatan seperti itu mulai jarang diamalkan setelah dibinanya klinik kesihatan dan hadirnya doktor di kampung, terutama semasa bermulanya program transmigrasi. Hal ini disebabkan masyarakat lebih cenderung berubat di klinik kesihatan atau menggunakan jasa jururawat atau doktor apabila sakit. Berkurangnya masyarakat yang menggunakan jasa dukun khususnya dalam pengubatan penyakit yang dianggap semengat jai', juga menyebabkan berkurangnya dukun yang mewariskan keahliannya kepada dukun yang lebih muda. Walaupun masyarakat Dayak Desa khususnya di kampung Emparu dan Ransi Pendek tidak menggunakan ritual ini lagi dalam perubatan, tetapi pokok kemanyang yang digunakan dalam ritual masih berpengaruh dalam kepercayaan masyarakat hingga sekarang. Pengaruh tersebut dapat dilihat pada keyakinan masyarakat dalam pantangan untuk tidak memakan buahnya dan tidak menggunakan daun dan batang kemanyang sebagai tempat berteduh atau bahan pembuatan pondok di huma.

1 comment:

  1. Keturunan dayak suku apa mempunyai tradisi sebegitu? perkataan 'ulun', 'langkau' ni biasanya digunakan oleh suku kaum Murut di Sabah (North Borneo).

    Manakala 'belian' ni ada persamaan dengan istilah 'bobolian' atau dukun/bomoh dalam upacara ritual pemyembuhan penyakit.

    ReplyDelete